Wednesday 4 December 2013

sIStEM kAWalAN daN pERlinDuNgAN pENdaWaIAn

Kawalan dan perlindungan pendawaian adalah suatu sistem yang mesti ada dalam setiap pendawaian elektrik. Kawalan dan perlindungan pendawaian bermaksud pemencilan atau pengasingan dan pensuisan serta sistem perlindungan. Suis, palam kuasa dan soket alir keluar serta pemutus litar adalah di antara contoh pengasingan dan pensuisan. Ianya berfungsi untuk menyambung dan memutuskan bekalan secara manual pada sesuatu litar tanpa mengganggu litar lain. Ia bertujuan untuk mencegah bahaya renjatan elektrik semasa penyenggaraan, pengujian, mengesan kerosakan dan pembaikan.

Tujuan utama sistem ini ialah untuk memberi perlindungan kepada sistem pendawaian, kelengkapan elektrik atau pengguna. Antara bahaya dalam pendawaian elektrik yang perlu diberi perlindungan ialah disebabkan oleh arus elektrik seperti arus lebih, arus bocor ke bumi, litar pintas, kilat dan sebagainya. Secara amnya, perlindungan bagi arus boleh dibahagikan kepada dua iaitu;

1. Perlindungan arus lebih (arus beban lebih atau litar pintas).
2. Perlindungan arus bocor ke bumi.

Perlindungan arus lebih (arus beban lebih atau litar pintas) ialah perlindungan daripada Pertambahan arus yang disebabkan oleh pertambahan beban. Alat perlindungan yang digunakan ialah pemutus litar atau fius yang berfungsi memutuskan litar bila berlakunya litar pintas dan lebihan arus. Pemutus litar atau fius hendaklah digunakan dengan kadaran yang sesuai bagi perlindungan arus beban lebih atau litar pintas.Pemutus litar atau fius hanya digunakan pada konduktor hidup sahaja. Bagi penggunaan litar fasa tiga, semua pemutus litar atau fius hendaklah digabungkan dalam satu kumpulan litar.


Perlindungan arus bocor ke bumi ialah perlindungan daripada arus berlebihan yang mengalir ke bumi atau ke bahagian-bahagian pengalir yang boleh mengalirkan arus. Alat perlindungan yang digunakan ialah Pemutus arus baki (RCD). Pemutus arus baki (RCD) hendaklah digunakan dengan kadaran yang sesuai bagi perlindungan arus bocor ke bumi bagi megelakkan daripada renjatan elektrik.